Kota Raja Mahadi

kotamahadi1

Kota ini telah dibina oleh Raja Mahadi Ibni Almarhum Raja Sulaiman pada tahun 1866. Kota ini telah terlibat dalam 2 siri perang saudara pada kurun ke -19. Perang saudara pertama telah terjadi berpunca dari penganugerahan Sungai Klang serta kawasan-kawasan di kedua tebing sungai tersebut kepada Raja Abdullah Ibni Almarhum Raja Jaafar. Di bawah pentadbiran beliau, bekas kawasan kepunyaan Raja Sulaiman, bapa Raja Mahadi ini menjadi kaya raya. Kemakmuran yang di capai oleh Raja Abdullah telah membuatkan Raja Mahadi iri hati lalu menuntut haknya ke atas bekas kawasan bapanya itu.

Pada tahun 1866 tercetuslah perang saudara pertama di antara kedua pihak. Raja Mahadi telah membuat tempat pertahanannya di bukit ini. Beliau mendirikan benteng daripada tanah serta melengkapkannya dengan meriam-meriam dari Kuala Selangor. Kotanya yang kukuh ini telah menolong beliau dalam perang tersebut. Setiap serangan telah dapat dipatahkan. Perang saudara ini berjalan selama 1 tahun sehinggalah Raja Abdullah mengundurkan tenteranya.

Perang saudara kedua telah berlaku pada tahun 1868 apabila Tengku Kudin dari Kedah datang sebagai orang tengah dalam pergaduhan tersebut. Raja Mahadi menolak usaha untuk berdamai lalu Tengku Kudin dengan tenteranya telah menyerang dan mengalahkan Raja Mahadi yang bertahan di Kota ini. Tengku Kudin telah menawan kota ini dan menjadikan ia sebagai tempat kediaman beliau hingga ke tahun 1898. Pada tahun masihi 1899 meriam-meriam di kota ini telah dipindahkan untuk menghiasi Istana Mahkota Puri yang terletak di tapak Istana Alam Shah, Klang sekarang.